KPTM rai 5,681 graduan pada konvokesyen ke-40

KPTM rai 5,681 graduan pada konvokesyen ke-40

RUBIAH Awang (duduk empat dari kanan) bersama barisan pengurusan Kolej Poly-Tech Mara dan graduan cemerlang pada Majlis Konvokesyen Ke-40 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Konvokesyen Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ke-40 berlangsung dengan penuh gemilang di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 19 Disember lalu dan berakhir 22 Disember ini. 

Seramai 5,681 graduan diraikan pada majlis konvokesyen kali ini yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Majlis berkenaan bukan sekadar simbolik penyerahan sijil akademik, malah menjadi lambang inspirasi dan motivasi buat para graduan untuk terus melangkah jauh sekali gus menyumbang kepada proses pembangunan negara. 

Menariknya, majlis konvokesyen kali ini melakar sejarah tersendiri apabila turut meraikan graduan pertama Program Diploma Pengajaran Inggeris Sebagai  Bahasa Kedua (TESL) dari KPTM Ipoh dan KPTM Kota Bharu.

Sudah pasti, penambahan graduan ini membuka mata masyarakat tentang kepentingan menimba ilmu ke peringkat yang lebih tinggi di samping membuktikan kejayaan program pendidikan KPTM dalam melahirkan generasi masa depan yang berkualiti dan kompetitif. 

Pengerusi KPTM, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli berkata, beliau berpuas hati dengan tahap kebolehpasaran para graduan KPTM.

Katanya, KPTM sekarang sangat fokus dengan memiliki 21 program profesional dengan asas yang mengutamakan kebolehpasaran graduannya.

“Kita juga ada hubungan dengan industri untuk memastikan graduan lepasan KPTM apabila keluar mereka ada pekerjaan.

“Berdasarkan rekod kita yang terakhir, 86 peratus daripada graduan KPTM mempunyai pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPTM, Radzuan Razali berkata, mereka mempunyai beberapa konsep strategi iaitu dengan memanfaatkan teknologi terkini untuk meningkatkan akses dan kualiti pendidikan khususnya pelajar luar bandar atau golongan kurang berkemampuan. 

Selain itu katanya, KPTM akan  menambahkan  capaian mereka daripada segi kursus bagi menarik minat lebih ramai lepasan sekolah untuk melanjutkan pelajaran ke kolej itu.

Dalam perkembangan sama, seramai 271 penerima Anugerah Khas diraikan termasuk Anugerah Platinum, Anugerah Pingat KPTM, Anugerah Khas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pelajar Terbaik dari program ijazah sarjana muda perakaunan dan kewangan.

Graduan terbaik Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan (kepujian) program kerjasama dengan Dublin Business School, Ireland, Irdina Zahrai Md. Hazri berkata, ibu dan kakaknya menjadi sumber kekuatan dan pendorong utama dirinya sehingga berjaya merangkul anugerah pelajar terbaik.

“Ibu dan kakak tidak pernah jemu dengan apa yang saya lakukan dan sentiasa memberi dorongan hingga mencapai kejayaan ini,” katanya.

Bagi  Nur Farahany Farrisha  Sukri pula yang menerima anugerah platinum pula melahirkan rasa teruja kerana dapat berkongsi pentas bersama kedua ibu bapanya. 

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) kerana membiayai pengajiannya hingga berjaya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya