KPT rangka Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035

KPT rangka Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035

ZAMBRY Abdul Kadir ketika berucap pada majlis Pembentangan Kad Laporan Pencapaian KPT 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang merangka satu agenda besar bagi pendidikan tinggi negara iaitu sebuah pelan perancangan jangka panjang untuk tempoh 10 tahun bermula 2025 sehingga 2035.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, rangka tersebut akan dibangunkan oleh tenaga-tenaga pakar tempatan yang berpengalaman di negara ini termasuk melibatkan para pemegang taruh.

“Pelan yang ada ini akan berakhir pada hujung tahun hadapan, tapi dalam masa yang sama kita kena menyediakan satu pelan (pendidikan) baharu untuk 10 tahun akan datang.

“Hal ini sedang diperincikan oleh satu jawatankuasa yang melibatkan pelbagai pihak dan kita (akan) rangka berdasarkan kepakaran kita.

“Kita sudah tidak ambil pendekatan menggunakan konsultan luar negara untuk merangka (pelan) pendidikan negara kita sendiri, tapi kita gunakan tenaga pakar kita yang sama hebat dengan pakar di luar negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi Festival Idea Putrajaya 2024 dan Pembentangan Kad Laporan Pencapaian KPT 2024 di sini hari ini.

Menerusi pembentangan kad laporan, Zambry berkata, KPT berjaya mencapai lima fokus utama bagi tahun 2024 iaitu penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan pemantapan ekosistem pemboleh daya.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan mengenai perancangan KPT bagi tahun hadapan antaranya keterlibatan dalam kepengerusian ASEAN, Festival Idea Putrajaya 2025 termasuk kerjasama antarabangsa dengan negara-negara luar.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan pencapaian KPT sepanjang tahun ini, Zambry berkata, kementerian sentiasa melaksanakan penambahbaikan secara berterusan serta kritikan kendiri dalam aspek-aspek yang perlu diperkemaskan.

“Sebagai contoh kita akan beri penekanan terhadap bidang ‘planetary health’, walaupun kita dah tahu tentang isu-isu alam sekitar, perubahan iklim, keadaan muka bumi dan sebagainya (tetapi) ini akan menjadi satu lagi ruang baharu dan bidang baharu yang kita akan ketengahkan nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPT turut mempunyai perancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat penyelidikan universiti-universiti ASEAN menjelang kepengerusian ASEAN 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya