KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam meningkatkan kualiti pembelajaran bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui kemudahan yang lebih baik dengan menyelenggarakan sebanyak 1,024 buah makmal di sekolah seluruh negara.
Jumlah tersebut melibatkan sebanyak 506 makmal sains dan 518 makmal komputer di seluruh negara diselenggara serta dinaik taraf dengan peruntukan RM100 juta pada tahun 2024.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pihaknya sentiasa berusaha menambah baik serta menaik taraf kemudahan dan infrastruktur yang menyokong proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran bidang STEM supaya dapat memberi pengalaman pembelajaran bermakna kepada murid.
Oleh itu, beliau berkata, penyediaan ruang pembelajaran yang luwes dan inklusif merupakan antara langkah strategik KPM dalam meningkatkan minat murid dalam bidang STEM.
“KPM berusaha secara berterusan menyalurkan peruntukan khusus bagi penyelenggaraan makmal dan pembelian peralatan STEM baharu. Sejumlah RM100 juta diperuntukkan pada tahun ini untuk tujuan tersebut,” katanya dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) yang meminta kerajaan menyatakan usaha diambil untuk memastikan lebih makmal moden dan peralatan STEM disediakan di sekolah-sekolah yang kekurangan dana dan bagaimana KPM merancang untuk menjadikan pembelajaran STEM lebih menarik untuk pelajar, supaya dapat mengatasi salah tanggapan bahawa subjek STEM adalah sukar dan menakutkan.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, bagaimanapun secara keseluruhannya peratusan enrolmen murid dalam aliran STEM menunjukkan satu peningkatan dari 40.95 peratus pada 2021 kepada 50.83 peratus tahun ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, KPM akan terus meningkatkan usaha untuk menggalakkan pembelajaran STEM secara bermakna menerusi beberapa pelan tindakan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada 29 Mac lalu.
“Antara negeri melepasi enrolmen murid STEM sebanyak 50 peratus seperti Perlis (58.42 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (58.67 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (53.06 peratus), Negeri Sembilan (51.91 peratus), Pahang (51.49 peratus) dan Pulau Pinang (51.44 peratus),” katanya.-UTUSAN