PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan memandang serius isu kekurangan guru di sekolah seluruh negara terutama bagi pilihan mata pelajaran kritikal.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sentiasa mempertingkatkan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Melantik (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) serta agensi pusat berkaitan termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF).
Menurutnya, bagi menangani isu kekurangan guru, beberapa kaedah sudah dipersetujui dan dilaksanakan untuk membolehkan lebih ramai calon berpotensi dilantik sebagai guru.
“Kementerian sedang melaksanakan langkah pengambilan guru menggunakan kluster mata pelajaran serta turut memperluaskan pengambilan guru kepada graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta dan universiti luar negara.
“Kementerian juga mengambil langkah dengan membuat pelantikan guru secara Contract of Service (CoS) dalam kalangan graduan yang tidak mempunyai ikhtisas pendidikan,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen Malaysia semalam.
Beliau menjawab soalan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) berhubung langkah-langkah strategik yang sedang dan akan diambil bagi menangani kekurangan guru terlatih khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman serta sasaran KPM bagi merapatkan jurang nisbah guru-pelajar antara sekolah bandar dan luar bandar.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, guru-guru lantikan CoS itu akan dipersiapkan dengan ilmu, kemahiran melalui Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) selama setahun di Institut Pendidikan Guru (IPGM).
“Kementerian juga melaksanakan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan selama setahun bagi kursus sepenuh masa kepada graduan tanpa pendidikan bermula tahun ini.
“Kementerian turut melaksanakan tindakan dengan membuat pengambilan calon guru bagi Program Praperkhidmatan PISMP lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Program Matrikulasi dalam beberapa bidang pengkhususan untuk keperluan guru sekolah rendah bermula tahun ini,” katanya.
Fadhlina berkata, kementerian juga mengambil pendekatan melalui penubuhan Jawatankuasa Pengambilan dan Penempatan Guru KPM untuk mengenal pasti perubahan yang berlaku dalam dasar, kurikulum, program dan enrolmen yang memberi kesan kepada keperluan guru.
“Ia memastikan keseimbangan dalam pengambilan serta penempatan guru sekolah kementerian. Sehingga 30 September lalu, statistik jumlah pengisian guru adalah seramai 416,260 orang dan peratus pengisian adalah sebanyak 96.18 peratus.
“Pada tarikh sama itu juga, seramai 13,749 orang guru baharu sudah ditempatkan bagi mengisi perjawatan di sekolah rendah dan menengah seluruh negara,” katanya.
Tambah beliau, nisbah guru murid adalah berdasarkan penempatan murid di sesebuah negeri, daerah dan sekolah.
“Berdasarkan data semasa, nisbah guru murid bandar dan luar bandar adalah bandar 1:12.5 dan luar bandar adalah 1:9.5.
“KPM sentiasa memantau penempatan guru bagi memastikan nisbah guru murid di bandar dan luar bandar berada dalam keadaan seimbang,” jelasnya. – UTUSAN