IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya melaksanakan 6,611 projek pembangunan dan infrastruktur untuk rakyat tahun ini dengan peruntukan hampir RM1 bilion.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pelaksanaan itu meliputi 20 projek berskala besar dan 3,697 projek berskala kecil selain sebanyak 357 projek pembangunan gerai dan kiosk serta satu projek pendigitalan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, sebanyak 362 projek pula dilaksanakan di bawah Inisiatif Belanjawan 2024 meliputi peningkatan tahap kesihatan gerai atau warung kecil sebanyak 87 projek, sistem perparitan dan longkang (93) dan penyelenggaraan kolam takungan banjir (182).
“Di samping itu juga, KPKT turut menaik taraf infrastruktur awam dan bina baharu di kawasan Kampung Baru Cina melibatkan 2,168 projek dan geran pembangunan sosioekonomi dengan enam projek.
“Secara keseluruhan, projek bagi kerajaan tempatan paling banyak dilaksanakan tahun ini iaitu 6,611 projek melibatkan peruntukan sebanyak RM993.73 juta atau hampir RM1 bilion berbanding tahun lalu dengan 5,196 projek pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penutup Sentuhan Kejayaan KPKT 2024 di Meru Raya di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, di bawah peruntukan projek-projek pembangunan KPKT bagi tahun ini, sebanyak 107 projek melibatkan peruntukan RM168.7 juta telah dilaksanakan di Parlimen Tambun.
Katanya, Parlimen Tambun telah menerima 55 projek di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan bernilai RM17.02 juta.
“Dalam bidang perumahan, KPKT tetap komited untuk menyediakan rumah mampu milik bagi rakyat Tambun dengan peruntukan RM149.21 juta untuk Program Residensi Rakyat (PRR) Tambun dan RM567,948.50 bagi tujuh projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
“Ini adalah sentuhan istimewa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun kepada warga kawasan itu di mana dijangka 400 ke 500 unit rumah mampu milik akan dibina di Tambun,” katanya.
Tambahnya, bagi Parlimen Tambun juga, KPKT melalui Bahagian Kesejahteraan Komuniti dan Bahagian Kampung Baru Cina telah melaksanakan 34 projek baik pulih dan pembinaan baharu rumah dengan kos sebanyak RM734,640.00.
“Selain itu, KPKT turut menaik taraf infrastruktur awam di kawasan Kampung Baru Cina dengan peruntukan sebanyak RM1.71 juta yang merangkumi 10 projek mengenai kerja-kerja menurap semula jalan dan menaik taraf taman rekreasi,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan besar KPKT dalam menjayakan projek berimpak tinggi kepada rakyat adalah disokong tatakelola pentadbiran kerajaan yang baik serta pimpinan yang berintegriti.
“Komitmen ini membuatkan kita mampu melaksanakan langkah penjimatan terhadap setiap projek, mengurangkan ketirisan, pemborosan dan penyelewengan,” katanya. – UTUSAN