KPDN keluarkan 75 kompaun sempena SHMMP Krismas

KPDN keluarkan 75 kompaun sempena SHMMP Krismas

Semakan harga oleh pegawai KPDN ketika operasi SHMMP Krismas, baru-baru ini. - Ihsan Facebook KPDN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan sejumlah 75 kompaun melibatkan kes salah laku semasa pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Krismas lalu.

Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, kompaun itu melibatkan 74 kes gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu dan satu kes tiada tanda harga.

Katanya, pemeriksaan sepanjang lima hari tempoh pelaksanaan skim itu mengumpulkan hasil kompaun sebanyak RM8,600.

“Sepanjang pelaksanaan skim ini, sebanyak 2,748 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negara merangkumi premis runcit, borong dan pengeluar.

“Daripada jumlah pemeriksaan tersebut, tindakan undang-undang telah dikenakan ke atas peniaga yang gagal mematuhi sepenuhnya perundangan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sempena sambutan perayaan Krismas, KPDN melaksanakan SHMMP Krismas 2024 berkuatkuasa lima hari bermula 23 hingga 27 Disember lalu.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, kerajaan mengawal 14 jenis barangan termasuk daging kambing biri-biri bertulang import, ayam tua hidup, kubis bulat import dan banyak lagi.

Mengulas lanjut, Azman berkata, tiada sebarang aduan diterima daripada pengguna sepanjang pelaksanaan skim itu.

Katanya, kebanyakan peniaga berjaya komited dalam mematuhi perundangan harga maksimum yang dikuatkuasakan itu.

“Berdasarkan pemantauan dan penguatkuasaan KPDN serta maklum balas orang ramai, pelaksanaan skim itu telah berjalan dengan baik dan lancar.

“KPDN juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta agensi di bawahnya, pihak industri dan keseluruhan peniaga atas komitmen serta kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan skim ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya