JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri ini merampas pelbagai barangan berjenama mewah tiruan bernilai RM11,768 dari empat premis di sebuah pusat beli-belah, di sini.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, sebanyak 1,479 helai pakaian dirampas hasil serbuan dilakukan kelmarin, hasil aduan daripada orang awam.
“Tindakan sitaan dan tahanan dibuat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 manakala tiga lelaki berusia lingkungan 30-an yang merupakan pekerja di premis berkenaan, ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Lilis Saslinda turut memaklumkan hingga kini, tindakan terhadap 66 kes di bawah akta berkenaan turut diambil melibatkan rampasan bernilai RM320,435. – UTUSAN