KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan kos haji bagi musim 1446H/2025M untuk jemaah Muassasah yang pertama kali menunaikan ibadah haji kekal pada RM33,000 seorang.
Namun, kadar bantuan haji telah dikurangkan secara berperingkat dengan peratusan berbeza mengikut kategori jemaah haji bagi memastikan kemampanan kewangan syarikat.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman berkata, penurunan bantuan kewangan tersebut adalah langkah yang adil bagi mengurangkan impak terhadap pulangan pelaburan pendeposit.
Menurutnya, bagi golongan B40, kadar bayaran haji Muassasah adalah RM15,000 dengan 55 peratus kos haji ditanggung melalui Bayaran Haji dan Bantuan Kewangan Haji (Hafis) berjumlah RM18,300.
Namun, peratusan bantuan kewangan bagi golongan B40 dikurangkan sebanyak lapan peratus berbanding 63 peratus pada tahun 2024.
Syed Hamadah berkata, bagi golongan M40, bayaran yang dikenakan adalah RM23,500 dengan bantuan berjumlah RM9,800 yang merangkumi 29 peratus daripada kos keseluruhan.
Difahamkan, kadar bantuan kewangan untuk golongan M40 juga telah berkurang daripada 42 peratus kepada 29 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Untuk golongan T20, yang berpendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan, bayaran haji kekal pada RM33,000 selaras dengan syarat istito’ah (kemampuan) untuk menunaikan ibadah haji,” jelasnya.
Selain itu, TH turut mengumumkan bahawa surat tawaran haji akan dikeluarkan untuk 31,600 orang jemaah haji bermula hari ini.
“Sehingga kini, terdapat hampir empat juta pendeposit yang telah mendaftar untuk menunaikan haji dan sedang menunggu giliran.
“Namun, kuota jemaah haji adalah terhad,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Kos Haji, Bayaran Haji dan Bantuan Kewangan Haji 1446H di Menara TH Tun Razak, hari ini.
Tambah Syed Hamadah, kos haji bagi jemaah Muassasah adalah jauh lebih rendah berbanding pakej haji yang ditawarkan oleh syarikat swasta yang dilesenkan TH yang mana harga pakej bermula sekitar RM55,000 seorang.
Menurutnya, TH berjaya mengekang peningkatan kos bagi musim haji kali ini dengan mengikat kontrak jangka panjang untuk penerbangan walaupun dalam keadaan harga minyak dunia yang tidak stabil.
“Kos penginapan di Tanah Suci juga meningkat dengan mendadak akibat daripada pembangunan pesat di Mekah dan Madinah.
“Namun, TH telah berjaya mengikat perjanjian dengan pengusaha hotel untuk beberapa tahun akan datang bagi memastikan harga penginapan terkawal,” katanya.
Jelasnya, kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci merangkumi 87 peratus daripada kos keseluruhan dan berada di luar kawalan TH.
Difahamkan, bantuan kewangan haji kali ini dianggarkan berjumlah RM261 juta menjadikan jumlah terkumpul bantuan tersebut melebihi RM2.8 bilion dalam tempoh 25 tahun.
Syed Hamadah berkata, bantuan kewangan yang besar ini memberi impak positif kepada kemampanan kewangan TH dan pulangan kepada pendeposit.
“Keputusan ini juga selaras dengan resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan yang menetapkan bahawa bakal jemaah haji bertanggungjawab terhadap perbelanjaan sebenar menunaikan ibadah haji.
“Perkara ini sesuai dengan konsep istito’ah, di mana haji diwajibkan hanya bagi umat Islam yang berkemampuan,” ujarnya. – UTUSAN