Kor Ming arah siasat punca banjir di Fair Park - Utusan Malaysia

Kor Ming arah siasat punca banjir di Fair Park

NGA Kor Ming (empat dari kanan) pada jamuan pengumpulan dana bangunan DAP Batu Gajah yang turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke (lima dari kanan) di Batu Gajah hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneliti langkah terbaik bagi mengatasi kejadian banjir kilat yang pertama kali melanda Arena Kepayang Putra, Fair Park di Ipoh hari ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pihaknya sedang menunggu laporan mengenai insiden banjir tersebut yang dianggap mengejutkan kerana tidak pernah berlaku hampir 30 tahun sejak kawasan itu didiami penduduk.

Beliau juga yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang berkata, pusat khidmatnya sudah turun padang bagi menyantuni penduduk dan mengusahakan bantuan yang boleh dihulurkan.

“Untuk kawasan Kepayang, saya masih lagi menunggu laporan. Di Fair Park dulu tak pernah berlaku macam ini, kita sedang cari punca apa sebabnya.

“Saya arahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) supaya mengenal pasti punca banjir di kawasan tersebut untuk kita buat pencegahan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita semasa jamuan pengumpulan dana bangunan DAP Batu Gajah di sini hari ini.

Banjir kilat di kawasan tersebut berlaku sejak tengah hari tadi selepas hujan berterusan selama beberapa jam dan menyebabkan kerosakan harta benda akibat air naik setinggi 1.5 meter.

Kor Ming berkata, pihaknya akan menyiasat punca kejadian memandangkan sungai berdekatan kawasan itu sebelum ini telah dilebarkan dan sepatutnya boleh menampung lebihan aliran yang deras.

“Ini adalah sebab taburan hujan yang luar biasa, di mana hujan telah melebihi 13 jam tidak berhenti. Saya duduk di Ipoh semalam, saya tahu.

“Saya gesa orang ramai mengambil langkah pencegahan akibat perubahan iklim yang berlaku sekarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya