GEORGE TOWN : Seorang anggota polis berpangkat koperal direman selama lima hari bermula hari ini untuk membantu siasatan meminta wang rasuah berjumlah RM80,000 daripada seorang wanita.
Permohonan reman terhadap suspek dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di hadapan Majistret Azlan Basri di Mahkamah Majistret George Town, hari ini.
Difahamkan, suspek meminta wang ‘suapan’ itu bagi membantu wanita terbabit membebaskan suaminya yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA 2012).
Menurut sumber, suspek yang juga seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an disyaki telah menghubungi wanita berkenaan pada 30 November lalu susulan tangkapan yang dibuat terhadap suami wanita berkenaan.
“Menerusi perbualan telefon itu, suspek telah meminta wang kira-kira RM80,000 daripada wanita tersebut sebagai balasan bagi mengubah keterangan untuk membantu suaminya dilepaskan daripada tahanan SOSMA.
“Suspek juga telah meminta wang pendahuluan kira-kira RM25,000 daripada wanita berkenaan yang kemudiannya membuat beberapa pindahan wang menerusi sistem pembayaran e-wallet membabitkan nilai kira-kira RM3,000,” katanya di sini, hari ini.
Menurut sumber itu lagi, pada Isnin lalu, suspek sekali lagi telah menghubungi wanita berkenaan dan meminta wang kira-kira RM2,000 secara tunai.
“Susulan itu, wanita tersebut kemudian menyerahkan lagi wang sebanyak RM1,000 kepada suspek dalam pertemuan di sebuah stesen minyak di Sungai Dua kira-kira pukul 2 petang semalam, sebelum ditahan,” katanya.
Tambah beliau, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN