Komander Malbatt 850-11 berjaya laksana misi pengaman di Lubnan

Komander Malbatt 850-11 berjaya laksana misi pengaman di Lubnan

BURHAN Sagoni menunjukkan pingat 'Croce Commemorativa Per La Partecipazione Alle Operazioni Di Pace' yang dikurniakan kerajaan Itali atas pencapaian sepanjang misi dijayakan di Lubnan pada Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Malaysian Battalion 850-11 di Pusasda, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Komander Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11, Kolonel Burhan Sagoni bersyukur apabila beliau bersama pasukannya berjaya menyelesaikan misi pengaman dengan baik walaupun berdepan cabaran serangan Israel di Lubnan ataupun disebut sebagai Northern Arrows.

Burhan berkata, pasukannya berdepan cabaran besar melakukan tugasan ketika konflik berlaku, malah menyifatkan suasana ketika itu tidak pernah dihadapi pasukan Malbatt sebelum ini.

“Operasi luar daripada kebiasaan ialah bagi mengiringi pergerakan pegawai kanan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) masuk ke kawasan operasi. Kami beri bantuan kepada penduduk awam di kawasan tanggungjawab Malbatt.

“Kami ambil pesakit-pesakit awam dari Blue Line (garis pemisah Lubanan, Israel) bawa ke hospital di situ. Kami membuat tinjauan yang kami panggil Kuala Lumpur Operation yang mana kami bantu pasukan-pasukan sahabat untuk membuat rondaan berkala,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Malbatt 850-11 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.

Pada majlis yang disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman itu,seramai 853 anggota dan pegawai termasuk dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang pegawai kewangan dari Kementerian Pertahanan menerima Penganugerahan Pingat PNBB diketuai Burhan.

Burhan turut memperoleh pingat ‘Croce Commemorativa Per La Partecipazione Alle Operazioni Di Pace’ yang dikurniakan dari Kerajaan Italy atas pencapaian sepanjang misi dijayakan di Lubnan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perasaannya dalam menghadapi ketegangan di Lubnan, beliau mengakui bimbang lebih-lebih lagi berkaitan keselamatan anggotanya.

“Sebelum ini kita cuma dengar bunyi bom dari jauh, 17 kilometer tetapi selepas itu kami nampak di kawasan tanggungjawab Malbatt.

“Bunyi (bom) lebih kuat dan impak lebih besar. Gegaran kadang-kadang ada, sedikit kerosakan kepada bangunan-bangunan di kem contohnya kaca pecah dan sebagainya. Saya sebagai komander risau tentang anggota, kalau mahu dibandingkan daripada keselamatan, kita patut bersyukur duduk dalam Malaysia ini,” katanya-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya