PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya kini sedang mengenal pasti jalan dan runtuhan cerun serta jambatan yang memerlukan kerja penyelenggaran ekoran cuaca buruk di beberapa negeri sebelum ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia bagi memastikan peralatan dan tenaga kerja mencukupi bagi melaksanakan penyelenggaran sebaik banjir pulih nanti.
Selain itu katanya, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri serta Jurutera Daerah (JD) turut diminta mengenal pasti laluan alternatif sekiranya jalan utama sama ada mendap, ditenggelami banjir mahupun cerun runtuh sehingga merbahaya serta tidak boleh dilalui kenderaan.
“Setakat ini kita telah mengenal pasti beberapa kawasan terlibat dan kita masih belum tahu jumlah keseluruhan secara tepat. JKR mempunyai tanggungjawab bagi memastikan jalan-jalan perhubungan selamat untuk dilalui.
“Apa yang pasti kita sedang dalam perancangan untuk baik pulih mengikut keseriusan kerosakan atau keruntuhan cerun yang terlibat,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Kelab Sahabat Setia Kelana Jaya di sini malam tadi.
Dalam pada itu Ahmad berkata, Bilik Gerakan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) diaktifkan bagi memantau bencana banjir yang berlaku susulan Monsun Timur Laut dan beroperasi 24 jam ekoran amaran banjir sudah berada di tahap merah.
Justeru katanya, orang ramai boleh layari laman http://bencanaalam.jkr.gov.my/ bagi mengetahui lokasi tepat kawasan banjir serta cadangan melalui jalan pintas lain.
Orang awam juga boleh menghubungi talian Hotline Bilik Gerakan Bencana JKR untuk melapor dan mendapatkan sebarang maklumat terkini berkenaan bencana terutamanya di sepanjang Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di 03-2610 7727. – UTUSAN