TUMPAT: Kementerian Kesihatan (KKM) masih menunggu keputusan analisis sampel kain pakaian seragam jururawat yang didakwa tidak memenuhi spesifikasi.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, analisis itu hampir siap dan keputusan diketahui sedikit masa lagi.
“Buat masa ini kita tak boleh ambil tindakan termasuk kepada syarikat pembekal selagi belum ada keputusannya.
“Proses siasatan masih berjalan, sedikit masa lagi akan dapat hasilnya,” katanya selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, di Pengkalan Kubor, di sini hari ini.
Pada 23 Oktober lalu, Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) mengakui menerima maklum balas mengenai kain yang dibekalkan untuk pakaian seragam jururawat sedikit keras serta tidak selesa dipakai ketika bekerja.
Perkara itu dimaklumkan Presidennya, Saaidah Athman namun tidak mengulas mengenai perkara itu termasuk berhubung dakwaan kain dibekalkan untuk pakaian seragam jururawat menyamai kain kafan.
Sementara itu dalam perkembangan lain, kes dakwaan doktor dipukul penolong pegawai perubatan di Hospital Gerik diserahkan kepada Pasukan Petugas Khas Bebas.
“Siasatan secara menyeluruh berhubung kes di Hospital Gerik itu apabila pembantu pegawai perubatan memukul doktor,” katanya.