PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu meyediakan insentif dan peluang kerjaya untuk memastikan doktor kekal berkhidmat dalam sektor awam dalam usaha menangani kekurangan doktor pakar di negara ini.
Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Lee Boon Chye berkata, insentif itu sebagai laluan mudah bagi mengelakkan mereka berhenti dan beralih ke sektor swasta.
“Kerajaan harus memberi perhatian terhadap prospek kenaikan pangkat dan peluang menjadi pakar sebagai motivasi untuk doktor kekal berkhidmat.
“Kekurangan jumlah doktor pakar adalah masalah utama yang perlu diatasi segera bagi memastikan perkhidmatan kesihatan negara terus berdaya saing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan seramai 6,417 orang pegawai perubatan lantikan tetap dan kontrak meletakkan jawatan sejak 2019 hingga 2023.
Mengulas lanjut, Dr. Lee berkata, walaupun jumlah doktor di hospital kawasan bandar mencukupi, kekurangan tenaga kerja di kawasan pedalaman masih membimbangkan.
Katanya penilitian semula gaji dan ganjaran lain perlu dilakukan dalam usaha menarik lebih ramai doktor kekal di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Ini berikutan, sekiranya doktor tidak melihat peluang kerjaya yang jelas dalam perkhidmatan kerajaan, mereka akan memilih sektor swasta yang menawarkan pendapatan lebih tinggi.
“Sediakan laluan kenaikan pangkat dan kepakaran yang lebih jelas untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, perlunya ganjaran tambahan bagi doktor yang berkhidmat di kawasan luar bandar atau mengambil giliran kerja rotasi yang mencabar.
Ujarnya, insentif seperti pembayaran mengikut jam tambahan untuk doktor di luar bandar boleh membantu mengurangkan tekanan kerja dan meningkatkan kepuasan mereka.
“Kemudahan seperti subsidi sewa rumah dan bantuan kewangan untuk menyambung pelajaran juga dapat elak doktor berhenti.
“Gaji sektor swasta yang jauh lebih tinggi menjadi faktor utama ramai doktor, termasuk yang sedang menjalani latihan kepakaran, pilih untuk meninggalkan KKM,” katanya. – UTUSAN