PETALING JAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yakin pelantikan Khalid Samad sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) baharu berupaya memperkasakan sektor pertanian.
Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kewibawaan dan visi Khalid, akan mendorong KADA akan terus memainkan peranan penting sektor pertanian, khususnya di Kelantan, demi manfaat para petani dan masyarakat keseluruhannya.
Beliau berkata, pelantikan Khalid itu mencerminkan kepercayaan terhadap kepimpinan, pengalaman, dan komitmen dalam memimpin serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Pada masa yang sama, beliau merakamkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pengerusi KADA sebelum ini, Muhammad Husain atas segala jasa, usaha, dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan.
“Semoga segala sumbangan beliau menjadi amal jariah yang berpanjangan dan diberkati oleh Allah SWT. Buat Khalid Samad, selamat bertugas,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebook rasmi beliau.
Khalid sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Shah Alam, namun beliau tewas di Parlimen Titiwangsa ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). – UTUSAN