KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain hari ini berjaya memperoleh perintah injunksi terhadap blogger, Papagomo.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Gan Tenchiong membenarkan permohonan tersebut selepas mendapati perkataan dan ayat yang digunakan oleh Papagomo jelas merujuk kepada Razarudin dan ia berunsur fitnah.
“Injunksi terhadap defendan (Papagomo) wajar dikeluarkan oleh mahkamah ini dengan segera untuk melarang dan menghalang defendan sebagaimana dipohon oleh plaintif.
“Maka mahkamah memerintahkan injunksi sebagaimana permohonan plaintif dibenarkan sehingga perintah lanjut mahkamah ini,” katanya.
Perintah injuksi ex-parte (satu pihak) itu antara lain melarang dan menghalang Papagomo daripada menerbitkan atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin sehingga perbicaraan kes sama itu diputuskan.
Mahkamah turut menetapkan pada 10 Januari ini bagi permohonan pendengaran injunksi secara dua belah pihak.
Selain itu, mahkamah juga mengeluarkan perintah injuksi ex-parte yang melarang dan menghalang Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris daripada menerbitkan atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan, video dan status serta komen atau sebarang bentuk rujukan kepada plaintif.
Perintah injunksi yang dimohon Razarudin itu adalah di antara relif yang dimohon dalam saman fitnah difailkan pegawai tertinggi polis itu pada 26 Disember lalu.
Menurut saman itu, Razarudin mendakwa Papagomo telah mengeluarkan kenyataan yang melabelkan plaintif sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan, video, status serta komen itu adalah berkenaan kedudukan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara dan secara peribadi secara bertulis, lisan sama ada secara atas talian di platform media sosial dan melalui aplikasi pesanan ringkas seperti Telegram dan Whatsapp.
Papagomo juga diperintahkan dikehendaki menarik balik, menurunkan dan memadamkan penerbitan siaran video di Youtube, Tiktok, Facebook, Telegram dan X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Disember lalu yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.
Pada 19 Disember lalu, Razarudin mengesahkan blogger terbabit diambil keterangan di Balai Polis Setapak berkaitan video berbaur fitnah dan mengaibkan KPN serta PDRM yang dimuat naik di Youtube.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pada 24 Disember lalu, media melaporkan kertas siasatan membabitkan blogger Papagomo berkaitan video tohmahan terhadap KPN dan PDRM sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara. – UTUSAN