SEPANG: Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) memaklumkan bahawa pihaknya menjalankan siasatan secara telus berhubung kes seorang selebriti ditahan kerana memiliki dadah baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, siasatan juga dijalankan mengikut peruntukkan undang-undang yang telah ditetapkan.
Beliau berkata, pihaknya ingin menegaskan bahawa dakwaan yang tidak disahkan boleh berpontensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Kami ingin memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak menyebar kandungan yang tidak sahih,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pada 14 Disember lalu, pihaknya telah menahan seorang lelaki warga tempatan yang juga seorang selebriti.
Sasikala berkata, kertas siasatan kes telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya semalam dan telah mendapat arahan pertuduhan mengikut Seksyen 6 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Pada hari ini, selebriti itu telah dibawa ke Mahkamah Sepang untuk dituduh,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, isteri kepada selebriti itu mendakwa dia dipaksa oleh salah seorang anggota polis supaya menukar kenyataan yang diberikan dalam laporan berhubung penangkapan suaminya.
Menurutnya, dia terpaksa membuat pendedahan tersebut kerana beranggapan tindakan yang dilakukan pihak berkuasa melanggar etika dalam sesebuah siasatan kes.
Pagi tadi, pelakon dan pelawak, Along Cham didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki dadah disyaki kanabis yang ditemui di kediamannya di Cyberjaya, Sabtu lalu.
Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 41, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman
Ahmad Fuad juga tidak membenarkan jaminan kepada Along berikutan peruntukan undang-undang mengikut seksyen itu adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin. – UTUSAN