PETALING JAYA: Semua permohonan pengampunan termasuk kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Jabatan Peguam Negara berkata, semua urusan berkaitan perlu dibuat mengikut tatacara dan saluran yang sudah ditetapkan di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.
“Kamar ini telah dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memaklumkan bahawa semua permohonan mengenai pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.
“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan termasuk Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumahnya, permohonan berkenaan perkara tersebut hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Kenyataan itu juga menegaskan, berdasarkan Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan antara lain bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah.
“Dalam hal ini, keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan juga adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai bagi mengelakkan tindakan sedemikian dicabar di mahkamah kerana tidak sah dari segi undang-undang,” katanya.
Pada 26 April lalu, Majlis Peguam memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan pada 29 Januari berhubung permohonan Najib untuk mengurangkan separuh daripada hukuman penjaranya, yang menyaksikan beliau dibebaskan lebih awal iaitu pada 23 Ogos 2028, adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan batal.
Majlis Peguam juga memohon deklarasi bahawa keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan denda Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta dengan syarat kegagalan membayarnya akan melanjutkan tempoh penjara beliau selama setahun, yang menyebabkan pembebasan awal pada 23 Ogos 2029, adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan batal.
Namun pada 11 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Majlis Peguam itu.
Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkata, permohonan itu di luar bidang kuasa mahkamah dan remeh, kerana beliau berpendapat bahawa keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan adalah sebahagian daripada satu proses yang bersepadu, di mana keseluruhan proses itu membawa kepada pemberian pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong. – UTUSAN