KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dilantik sebagai peguam bela Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa mencederakan pelatih lain, bulan lalu.
Pelantikan itu dimaklumkan pada sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Pada prosiding hari ini, Hakim Elgusra Ali menetapkan 4 Februari hadapan bagi sebutan semula kes itu selepas pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin memohon tarikh baharu untuk menyerahkan dokumen tambahan tersebut kepada pihak pembelaan.
“Sebahagian dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan. Pihak pendakwaan memohon kepada mahkamah untuk memberikan satu tarikh baharu untuk penyerahan dokumen,” kata Nadia Eleena.
Ramkarpal tidak membantah permohonan pihak pendakwaan itu.
Pada 8 November lalu, Amirul Iskandar Ahmad Nohanizan, 22, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Salman Mond Saiful, 20, dengan menggunakan seterika wap panas di sebuah dorm ALK UPNM Sungai Besi pada pukul 11.45 malam, 22 Oktober lalu.
Kadet itu didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 10 tahun atau dengan denda atau sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Pada 2 November lalu, media melaporkan mangsa berusia 20 tahun ditekap seterika pada bahagian dada selepas diminta menggosok baju kerja milik seniornya dalam kejadian di bilik asrama universiti berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata, laporan berkaitan kejadian berkenaan dibuat mangsa pada 8.23 malam, Jumaat lalu.
Rakaman percakapan pengadu diambil di Ibu pejabat Polis Daerah Cheras dan pengadu juga diminta membuat rawatan di hospital bagi mengesahkan jenis kecederaannya. – UTUSAN