PUTRAJAYA: Kabinet bersetuju membentuk satu jawatankuasa bagi merangka model kerjasama perikanan laut dalam antara Malaysia dan Vietnam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dicapai hasil pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam ketika lawatannya ke Malaysia pada November lalu.
“Jawatankuasa itu akan turut dianggotai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta beberapa agensi lain.
“Secara prinsipnya kita mahu mencari model terbaik bagi membolehkan kedua-dua negara berkongsi kepakaran dan pengalaman teknologi tangkapan ikan laut dalam. Kemudian kita akan kerjasama bagi membolehkan keuntungan itu dirasai kedua-dua pihak,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN bagi bulan Disember di sini hari ini.
Saifuddin turut menyentuh mengenai model sedia ada dalam bidang perikanan iaitu kerjasama antara Maghribi dan Kesatuan Eropah (EU) menerusi perjanjian melibatkan hasil laut.
“Melalui tandatangan (kerjasama) ini, negara Sepanyol yang juga merupakan negara EU, sekarang dapat hasil laut di kawasan perairan milik Morroco, jadi situasi menang-menang model itu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut meminta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) meningkatkan kompetensi anggotanya dengan memperkukuhkan jaringan antarabangsa dan serta memperbaiki keupayaan aset bagi melindungi keselamatan dan kedaulatan sempadan laut negara.
Saifuddin berkata, jumlah kawasan pengairan yang dikawal negara kini adalah mencecah 590,000 kilometer persegi dan ia sekali gus terdedah dengan pelbagai ancaman termasuk kegiatan penyeludupan, pendatang tanpa izin serta serta pencerobohan kapal asing.
“KDN juga akan membantu Maritim Malaysia dari segi keupayaan aset termasuk memantau status kemajuan pembinaan dua lagi Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) yang dijangka diterima dalam tempoh kurang dua tahun dari sekarang,” katanya.-UTUSAN