SHAH ALAM: Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencuri tumpuan dalam persidangan International Conference on Current Issues in Education (IC-CIE-2024) di Istanbul, Turki.
Kertas kerja bertajuk ‘An Institutional Leadership Framework on University Academics Decision to Become Institutional Leaders’ yang dibentangkan oleh pasukan kolaborasi ini meraih penghargaan ‘Best Paper Award’.
Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Bakat AKEPT, Prof. Madya Dr. Norazharuddin Shah Abdullah berkata, kertas kerja menekankan pendekatan holistik dalam pemilihan bakat bagi memastikan kesinambungan kepimpinan cemerlang di institusi pendidikan tinggi.
Katanya, AKEPT di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi terus menginstitusikan pengurusan bakat berasaskan kompetensi sejajar dengan nilai-nilai Madani.
“AKEPT, entiti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi konsisten menginstitusikan pengurusan bakat berasaskan kompetensi sejajar dengan konsep Madani.
“Enam teras Madani digabungkan untuk memantapkan model kepimpinan AKEPT bersama ekosistem universiti awam,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Norazharuddin berkata, agenda kepimpinan diberi penekanan bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi negara.
Katanya, pemimpin institusi perlu peka terhadap kehendak orang bawahan dan mengimbangi dengan objektif institusi.
“AKEPT menggunakan instrumen Behavioral Event Interview (BEI) untuk memperkukuh pembangunan kepimpinan bakat.
“Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 ke arah membina pemimpin berwibawa,” katanya. – UTUSAN