KUALA PILAH: Kerja-kerja fizikal bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Jelai, di sini dijangka bakal bermula pada April tahun hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman berkata, projek RTB bernilai kira-kira RM164 juta berkenaan sudah pun bermula Februari lalu dengan penyediaan reka bentuk bersesuaian.
Menurutnya, projek sepanjang hampir 40 kilometer itu membabitkan kawasan Sungai Jelai dari Inas sehinggalah ke persimpangan Sungai Muar dan Sungai Johol.
“Pihak jurutera perunding kini sedang dalam proses reka bentuk dan kerja fizikal seawal April tahun depan apabila mereka (jurutera perunding) telah dapat data-data kawasan-kawasan yang sensitif dan kawasan-kawasan yang terlibat banjir.
“Sebagai langkah awal mengurangkan risiko banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan telah melakukan kerja-kerja penyelenggaraan sungai bagi memastikan aliran air lancar ketika hujan lebat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Wang Ihsan Mangsa Banjir Daerah Kuala Pilah di Dewan Besar Dangi, di sini.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kejadian banjir pada 29 November di Johol yang turut dikaitkan dengan aktiviti penerokaan tanah, Saiful Yazan menegaskan kejadian banjir berlaku itu adalah berpunca ekoran hujan terlalu lebat dalam tempoh sehari menyamai taburan hujan untuk tempoh satu bulan. – UTUSAN