PUTRAJAYA: Sejumlah 1,584 buah kenderaan pelbagai jenis berjaya disita Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sepanjang tahun ini berdasarkan data setakat semalam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, ia melibatkan sebanyak 939 kes yang direkodkan di seluruh negara untuk 2024 malahan menjadi komoditi paling tinggi dari segi nilai iaitu mencecah RM171.74 juta.
Terdahulu, beliau memaklumkan kejayaan JKDM sehingga semalam mematahkan 6,708 kes cubaan penyeludupan dan penyelewengan duti atau cukai kastam untuk tahun ini melibatkan sitaan pelbagai jenis barangan termasuk beras, tayar, mercun, tekstil, bunga api dan mata wang dengan cukai bernilai RM1.532 bilion.
Mengulas lanjut, Anis Rizana berkata, secara keseluruhannya nilai jenayah itu telah pun menyaksikan peningkatan sebanyak 73.26 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Ada lima komoditi utama mencatatkan nilai rampasan tertinggi dari 1 Januari sehingga semalam dengan kenderaan didapati sebagai merekodkan angka paling besar,” katanya.
Komoditi berkenaan ujar beliau meliputi pelbagai jenama model kereta mewah dan biasa dari seluruh dunia dengan nilai cukai yang cuba dielakkan itu berjumlah RM130.65 juta.
Tempat kedua pula katanya, ialah dadah yang membabitkan sejumlah 498 kes dengan berat keseluruhan 3,836 kilogram dan bernilai RM138.12 juta di pasaran gelap tempatan.
Ini kata Anis Rizana, diikuti 2,435 kes rokok iaitu yang paling banyak dengan kuantitinya 593,791,762 batang bernilai RM89.96 juta dan cukai cuba diculaskan iaitu RM390.5 juta.
“Produk minuman keras juga dalam senarai lima teratas dan melibatkan 997 kes dengan berat 3,120,636 liter bernilai RM28.94 juta serta cukai sepatutnya RM92.7 juta,” jelasnya.
Tidak ketinggalan ialah 25 kes cubaan penyelewengan atau penyeludupan tekstil dengan 224,257 helai disita JKDM bernilai RM4.82 juta dan cukai dielakkan ialah RM1.29 juta.
Sementara bagi pelbagai lagi komoditi lain pula merekodkan sebanyak 1,814 kes dengan nilai keseluruhan mencecah RM420.36 juta dan cukai boleh dikutip iaitu RM62.94 juta. – UTUSAN