Kerajaan terima RM35.8 juta sumbangan syarikat korporat, bantu mangsa banjir - PM

Kerajaan terima RM35.8 juta sumbangan syarikat korporat, bantu mangsa banjir – PM

ANWAR Ibrahim beramah mesra bersama sebahagian penyumbang pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan MADANI untuk mangsa banjir di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini menerima sumbangan sebanyak RM35.8 juta daripada 23 buah syarikat korporat khusus bagi meringankan beban mangsa banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

Sumbangan itu berjaya dikumpulkan pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan Madani Untuk Mangsa Banjir yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili kerajaan untuk menerima sumbangan itu yang turut disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus.

Sumbangan itu diterima daripada YTL Corporation Berhad dan Yayasan Albukhary yang masing-masing menyumbangkan RM5 juta, manakala Sapura Secured Technologies dan U Mobile Sdn Bhd masing-masing RM3 juta.

Selain itu, turut menyumbang ialah Mah Sing Group Berhad, WCT Berhad, IJM Corporation Berhad, Kuala Lumpur Kepong Berhad, Berjaya Corporation Berhad dan Press Metal Berhad masing-masing menyumbangkan sebanyak RM2 juta.

Anwar dalam ucapannya berkata, inisiatif kutipan sumbangan itu lahir secara spontan dan ia berjaya dikumpulkan dalam tempoh dua hari.

Menurutnya, beliau sangat menghargai sumbangan oleh syarikat korporat ini dan dana ini kelak akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.

“Sumbangan ini akan digunakan bagi baik pulih kemudahan awam termasuk sekolah dan hospital (fasiliti kesihatan) yang terjejas akibat banjir.

“Saya dimaklumkan ada sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan sudah tentunya tandas serta lantai akan rosak.

“Selain peruntukan sedia ada, dana ini akan digunakan untuk menampung kerosakan kemudahan awam ini selain makanan dan minuman,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut menggesa supaya sumbangan kepada mangsa banjir diselaraskan supaya ia lebih efisien dan teratur.

“Saya perhatikan, sumbangan dan orang derma ini merata-rata. Jika ia diselaras kita dapat tahu sekolah (PPS) mana yang perlu termasuk jumlah mangsa terjejas.

“Orang di bawah (penyelaras di PPS) tahu. Kalau kita pergi sendiri, tempat yang dapat bantuan kita pergi bantu lagi. Sebab itu ia perlu diselaras supaya lebih efisien,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya