BATU GAJAH: Kementerian Pengangkutan berharap kerajaan negeri bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk membangunkan pusat kargo di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh.
Menteri Pengangkutan, Anthony Lok berkata, pihaknya sedang menilai cadangan kerajaan negeri mengenai pembangunan pusat kargo tersebut.
Menurutnya, LTSAS juga kini sedang melalui proses pengubahsuaian dengan penambahbaikan untuk keselesaan penumpang.
“Pengubahsuaian yang bermula awal tahun ini termasuk perubahan susun atur kaunter daftar masuk dan penambahan kaunter baru
“LTSAS bukan sahaja menempatkan terminal penumpang malah sektor kargo juga merupakan komponen yang sangat penting di lapangan terbang itu.,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Jamuan Pengumpulan Dana Bangunan DAP Parlimen Batu Gajah di Dewan Konvensyen Pusing di sini semalam.
Berhubung kerja-kerja penaiktarafan LTSAS, Anthony berkata, MAHB telah pun melaksanakan kerja-kerja tersebut sejak awal tahun ini.
“Kerja-kerja tersebut melibatkan pengubahsuaian ruang legar, kaunter, serta aspek keselamatan, dan dijangka siap dalam masa terdekat.
“Kerja naik taraf ini lebih kepada pengoptimuman ruang sedia ada, termasuk penyusunan semula kaunter pelepasan dan ketibaan, serta penambahan kaunter daftar masuk untuk memberi keselesaan kepada penumpang,“ katanya.
Menurutnya, walaupun Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) tidak berstatus lapangan antarabangsa, ia tetap menerima penerbangan luar negara.
Ujarnya, penerbangan antarabangsa dari Singapura ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) memang sudah dijalankan di lapangan terbang tersebut.
Menurutnya, walaupun LTSAS belum berstatus lapangan terbang antarabangsa, ia sudah menerima penerbangan antarabangsa, termasuk tiga penerbangan dari Scoot Airlines.
“Bagi penerbangan dari destinasi lain, itu bergantung kepada syarikat penerbangan masing-masing dan potensi pasaran.
“Lapangan terbang menyediakan prasarana yang lebih baik, tetapi untuk menarik lebih banyak syarikat penerbangan, mereka perlu menilai pasaran.
“Jika ada permintaan, syarikat penerbangan pasti akan datang,” katanya. – UTUSAN