Kerajaan Sedia Pas Lawatan Jangka Panjang untuk Rakyat Palestin

Kerajaan Sedia Pas Lawatan Jangka Panjang untuk Rakyat Palestin

ADLY Zahari semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan sedang bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri untuk menyediakan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang bagi rakyat Palestin yang dibawa masuk ke Malaysia pada 16 Ogos lalu untuk menerima rawatan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pas itu akan membolehkan mereka yang mempunyai dokumen sah terus menetap di Malaysia sebelum dihantar pulang ke negara asal.

“Pemberian pas lawatan sosial jangka panjang ini adalah sama seperti program kemanusiaan untuk rakyat Syria, Sudan dan Yaman yang pernah dilaksanakan sebelum ini oleh kerajaan Malaysia.

“Selain itu, Kedutaan Palestin di Kuala Lumpur juga sedang memproses permohonan pasport dengan pihak berkuasa di Ramallah bagi rakyat Palestin yang memerlukan, dan dijangka siap pada pertengahan Disember ini,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengenai status terkini 41 pesakit rakyat Palestin bersama 86 waris yang dibawa dari Mesir untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di negara ini.

Adly berkata, daripada jumlah pesakit yang dibawa, seramai 40 orang telah selesai menerima rawatan dan kini ditempatkan di Wisma Transit di Kuala Lumpur bersama waris masing-masing. Namun, seorang pesakit masih menjalani rawatan dialisis di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

Beliau turut menegaskan bahawa kesemua mereka hanya akan dihantar pulang selepas gencatan senjata antara Palestin dan Israel berjaya dicapai serta keadaan di negara mereka kembali aman.

“Memandangkan situasi keselamatan di Palestin, khususnya di Gaza, masih tidak selamat, kerajaan Malaysia dengan sokongan NGO seperti Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) akan meneruskan misi kemanusiaan. Ini termasuk menyediakan keperluan asas seperti makanan, minuman, dan tempat perlindungan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya