KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan peruntukan RM10 juta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menjalankan kajian geoteknikal bagi mengelakkan insiden lubang benam berulang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, kajian ini akan memberi tumpuan kepada jalan-jalan utama di ibu negara yang berisiko tinggi.
“Langkah ini diambil susulan kejadian lubang benam pada Ogos lalu yang menjejaskan beberapa kawasan strategik di tengah bandar Kuala Lumpur.
“Kerja-kerja baik pulih di tapak lubang benam kedua di Jalan Masjid India sudah siap sepenuhnya dan kawasan itu juga dibuka semula kepada orang awam,” katanya dalam Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Tan Seri Mohamad Fatmi Che Salleh yang meminta beliau menyatakan apakah status atau laporan terkini mengenai isu sinkhole yang baru-baru ini berlaku di tengah bandar Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan kerja pembaikan di hadapan Wisma Melayu, Zaliha berkata, pihak DBKL masih lagi melakukan kerja pembaikan yang dijangka siap hujung Disember ini.
“Kawasan ‘Ground Zero’ di hadapan Wisma Melayu masih dalam fasa akhir pembaikan dan dijangka selesai sepenuhnya pada hujung Disember 2024,” katanya.-UTUSAN