PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan yang mentadbir negara ketika ini terbina di atas prinsip perpaduan yang ikhlas dan bukannya percaturan politik yang merosakkan.
Justeru, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, parti itu perlu berdiri teguh di atas prinsip kepercayaan dan kerjasama yang terbina sebagaimana ditekankan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Malah beliau berkata, budaya lompat parti hanya akan mengundang ketidakstabilan, merosakkan kepercayaan dibina dan mengorbankan masa depan rakyat demi kepentingan sempit segelintir pihak.
“Wanita UMNO menyeru kepada semua pemimpin dan pemain politik untuk kembali kepada nilai yang lebih tinggi iaitu nilai keikhlasan, kejujuran dan tanggungjawab terhadap rakyat yang kita pimpin.
“Politik bukan sekadar soal kuasa, tetapi amanah yang dipikul demi masa depan bangsa dan negara,” katanya memetik UMNO Online hari ini.
Beliau berkata, sayap parti itu bertekad untuk memperkukuhkan kesatuan parti, mempertahankan kestabilan politik dan memastikan budaya lompat parti itu dihentikan.
“Kita perlu fokus kepada agenda yang lebih besar iaitu memajukan negara dan membela rakyat,” katanya.
Noraini difahamkan mengulas laporan media berkait tawaran diterima seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk menyertai PKR, yang juga rakan komponen BN dan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN