PUTRAJAYA: Kerajaan komited dalam memperkasakan ekonomi perak (silver economy) bagi meneroka potensi warga tua sebagai salah satu pemacu ekonomi negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, semua sedia maklum bahawa warga emas sangat terdedah dengan risiko kemiskinan disebabkan tiada pendapatan tetap selepas bersara.
Justeru, katanya, semua pihak perlu berbanding bahu dalam merancakkan ekonomi perak ini sekali gus merangka pelan tindakan komprehensif sebagai persediaan beralih menjadi negara menua pada masa akan datang.
“Malaysia kini berdepan dengan negara menua serta pelbagai cabaran yang meliputi kesihatan, ekonomi, sosial, psiko-spiritual dan juga persekitaran.
“Selain itu, peningkatan populasi warga emas juga boleh membentuk segmen yang besar dalam
ekonomi, dan sewajarnya diberikan tumpuan yang menyeluruh.
“Golongan yang dahulunya bekerja dan mempunyai pelbagai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam bidang yang berbeza, tidak lagi mempunyai platform untuk memanfaatkan kepakaran mereka,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Anugerah MyPesara 2024 anjuran Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] di sini, hari ini.
Teks ucapan Amir Hamzah dibacakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Amir Hamzah berkata, kerajaan berhasrat menerajui pertumbuhan ekonomi yang bukan sahaja
mampan, tetapi inklusif, produktif dan fleksibel, tanpa menyisihkan mana-mana pihak, terutama pesara.
Menurutnya, golongan ini telah banyak berkorban masa, tenaga dan usaha kepada pembangunan negara justeru, mereka patut disokong demi kelangsungan hidup dan pertumbuhan ekonomi semasa. – UTUSAN