KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis menyalurkan peruntukan berjumlah RM202,868 bagi membantu meringankan beban seramai 628 pesawah terjejas akibat banjir pada September dan Oktober lalu.
Bantuan tersebut mula diagihkan pada 20 Disember ini dengan menilai tahap kerugian masing-masing mengikut jumlah keluasan tanaman pesawah yang terkesan akibat bencana itu.
Bagi pesawah yang terlibat dengan bencana banjir baru-baru pula, mereka diminta segera membuat aduan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) selewat-lewatnya sehingga 20 Disember ini.
Pengerusi Pertanian negeri, Razali Saad berkata, para pesawah yang terlibat juga boleh menikmati takaful tanaman padi Agro Bank melalui skim insuran tanaman ditimpa bencana dengan mendaftar di bank berkenaan.
“Kerajaan negeri, Pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan PPK sudah melakukan bancian musibah baru-baru ini. Banjir bukan kehendak kita namun sebagai kerajaan, kita mengambil pendekatan menyelesaikan masalah secepat mungkin,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan Perlis 2025 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Razali berkata, salah satu punca banjir berlaku adalah kelemahan sistem saliran dan pengairan yang perlu diuruskan dengan sistematik.
“Perlis sedia berbincang dan bekerjasama dengan kementerian bagi merancang dan menilai pembangunan sistem infrastruktur dan saliran berkenaan di negeri ini,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan negeri juga sedang merancang untuk memiliki kilang pengeluaran benih padi sendiri kerana kemudahan tersebut belum ada di negeri ini. – UTUSAN