KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan sejumlah RM489.5 bilion pelaburan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama bagi tempoh 2023 hingga Jun 2024.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM262.9 bilion atau 53.7 peratus adalah pelaburan asing, manakala RM226.5 bilion merupakan pelaburan domestik.
“Pulau Pinang mencatat jumlah pelaburan asing tertinggi sebanyak RM65.97 juta, diikuti Kedah (RM54.90 juta), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, (RM43.79 juta), Johor (RM38.97 juta) dan Selangor (RM29.89 juta), katanya,” ketika waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai jumlah pelaburan langsung asing yang diluluskan setakat ini beserta perinciannya mengikut negeri.
Selain itu, Liew berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan (MIDA) terus berusaha menarik minat pelaburan berkualiti sebagai manfaat kepada negara termasuk melalui aktiviti ekonomi, peluang perniagaan dan pekerjaan bernilai tinggi.-UTUSAN