KUALA LUMPUR: Perdana Menteri sekali lagi menzahirkan penghargaan atas sumbangan dan pengorbanan sektor swasta serta korporat yang membantu meringankan beban mangsa banjir di beberapa negeri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghargai bantuan yang diberikan selain dari pihak kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa dan jentera kerajaan.
Kata beliau, bantuan tersebut menunjukkan kekuatan luar biasa rakyat untuk bersama-sama membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi secara bersatu.
“Kerajaan menerima baik keprihatinan sektor korporat dalam membantu mangsa banjir. Setakat Oktober, GLC (syarikat berkaitan kerajaan) seperti PNB (Permodalan Nasional Berhad), Petronas, Yayasan Hasanah dan Pharmaniaga telah menyalurkan bantuan bernilai lebih RM10 juta.
“Insya-Allah hari ini juga, saya akan menerima sumbangan bantuan banjir daripada syarikat swasta terkemuka dengan jumlah terkumpul lebih RM35 juta… jadi di Dewan yang mulia ini, bagi pihak Dewan (Negara) saya ucapkan penghargaan kepada semua,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Anwar berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi bacaan kali kedua. – UTUSAN