PETALING JAYA: Kerajaan digesa mempercepatkan pelantikan pesuruhjaya khusus bagi Orang Kurang Upaya (OKU), susulan pindaan Akta SUHAKAM 1999 yang berkuat kuasa pada 10 Julai lalu.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Pesuruhjaya OKU penting untuk memastikan sokongan dan tindakan yang sewajarnya dapat diberikan kepada komuniti ini.
Selain itu katanya, kerajaan juga perlu meminda Artikel 8(2) dan 12 Perlembagaan Persekutuan bagi melarang diskriminasi terhadap OKU.
“Masih banyak cabaran perlu diatasi, termasuk akses pendidikan, kesihatan, maklumat, dan pekerjaan bagi golongan ini. Namun, Suhakam menggesa semua sektor bekerjasama demi memastikan hak OKU dilindungi sepenuhnya.
“Sehubungan itu, Suhakam meminta kerajaan memperbaharui Pelan Tindakan OKU 2016-2022 yang telah tamat tempoh bagi memastikan perancangan masa depan lebih kukuh,” katanya
.
Malaysia sebagai pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) sejak 2010, turut didesak untuk meminda Artikel 8(2) dan 12 Perlembagaan Persekutuan bagi melarang diskriminasi terhadap OKU. – UTUSAN