PETALING JAYA: Kerajaan sedang merancang untuk meminda Akta 386 (2013) pada awal tahun hadapan sebagai langkah untuk mengawal kenaikan kos perubatan yang semakin membebankan rakyat.
Akta 386 (2013) merujuk kepada Akta Perubatan (Pendaftaran dan Kawalan) 2013 yang dikenali juga sebagai Akta Perubatan (Pendaftaran dan Kawalan) 2013 (Akta 586).
Akta ini adalah satu undang-undang yang mengawal dan mengaturkan pendaftaran serta kawalan terhadap profesion perubatan di Malaysia dengan tujuan untuk memastikan amalan perubatan yang selamat, beretika, dan berwibawa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, akta itu perlu dipinda kerana sukar untuk kerajaan mempersetujui kenaikan kos rawatan yang meningkat.
Bagaimanapun beliau berkata, salah satu langkah jangka pendek untuk mengawal kenaikan kos rawatan adalah memperkenalkan Diagnosis-Related Group (DRG) secara menyeluruh.
“Saya dah minta Kementerian Kesihatan menetapkan kaedah yang segera dan ini telah dibincangkan panjang, kalau sebaiknya awal tahun hadapan supaya jangan terlalu tinggi kos itu,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Anwar juga mendakwa terdapat beberapa syarikat besar pengeluar ubatan yang monopoli negara dengan harga pembelian tidak masuk akal.
“Malaysia dikenakan RM5,000 kerana kawalan yang tidak ketat dan dimonopoli selama ini tetapi untuk Thailand hanya RM1,500 untuk ubat yang sama.” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang meminta apakah langkah jangka pendek untuk selesaikan masalah kenaikan kos rawatan di hospital swasta supaya tidak membebankan rakyat. – UTUSAN