KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 19 Februari 2025 untuk keputusan permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk membatalkan saman yang difailkan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim berhubung pemecatannya daripada parti tersebut.
Hakim Roz Mawar Rozain menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan daripada pihak-pihak terlibat.
Berdasarkan saman pemula yang difailkan pada 24 Jun lalu, bekas Adun itu menamakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai defendan.
Pada prosiding hari ini, Muhyiddin dan Hamzah diwakili peguam, Chetan Jethwani manakala Mohd. Amar diwakili peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud sementara SPR diwakili Peguam Persekutuan, M. Kogilambigai. Kesemua mereka memohon agar saman pemula itu dibatalkan.
Terdahulu, Awang Armadajaya menghujahkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri telah selesai diadakan pada 17 Oktober lalu dan Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani dari Barisan Nasional telah memenangi kerusi terbabit.
Sehubungan itu, Mohd. Azmawi sepatutnya dinamakan sebagai defendan dalam saman pemula berkenaan kerana dia mempunyai hak untuk didengar, memandangkan beliau merupakan pihak yang akan mengalami kerugian yang besar sekiranya saman tersebut dibenarkan.
Selain itu, Awang Armadajaya mengatakan, Mohd. Azizi gagal meletakkan dirinya sebagai calon dalam PRK berkenaan walaupun tidak ada halangan undang-undang atau sebaliknya baginya untuk bertanding.
“Atas sebab yang dinyatakan, saman pemula ini harus dibatalkan kerana ia tidak mendedahkan sebab tindakan atau pembelaan yang munasabah, selain ia juga adalah bersifat remeh dan menyusahkan.
“Tindakan saman pemula ini juga boleh menyebabkan prejudis, memalukan dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, Mohd. Azizi antara lainnya memohon pengisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahlian beliau dalam Bersatu menerusi notis bertarikh 12 Jun lepas adalah tidak sah dan batal serta salah di sisi undang-undang.
Beliau juga memohon perisytiharan bahawa Surat Makluman itu adalah tidak sah dan batal dan pemecatan jawatannya daripada Bersatu adalah berniat jahat.
Menurut plaintif, pindaan kepada Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika dia menyokong saingan politik, adalah tidak berperlembagaan.
Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi sementara Mohd. Azizi selepas berpuas hati SPR tidak wajar dihalang melaksanakan fungsi keperlembagaannya untuk mengendalikan PRK Dun berkenaan. – UTUSAN