PETALING JAYA: Kenyataan Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berhubung pengampunan Diraja membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah bersifat pertanyaan.
Pengarah Komunikasi Pemuda BN, Neow Choo Seong berkata, pertanyaan itu dilontarkan bertujuan mendapatkan penjelasan susulan kenyataan Peguam Negara yang dikeluarkan Sabtu lalu.
Katanya, tiada keperluan untuk menarik semula kenyataan yang telah dikeluarkan kerana tidak melanggar sebarang undang-undang.
“Apa yang dinyatakan adalah bersifat pertanyaan dengan niat untuk mendapatkan penjelasan sejurus kenyataan Peguam Negara berhubung isu pengampunan Diraja.
“Tidak ada keperluan untuk Dr. Akmal Saleh menarik balik sebarang kenyataan beliau kerana tidak ada apa-apa kesalahan atau bercanggah dengan undang-undang di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan Akmal digesa untuk menarik semula kenyataan berkaitan pengampunan Diraja membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli berkata, perkara itu wajar dilakukan kerana pertikaian terhadap bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong boleh menjejaskan pandangan terhadap keluhuran institusi.
Dalam pada itu, Choo Seong turut mengajak Adam Adli bersama ahli AMK untuk bersama menyertai Solidariti bersama Najib Razak di Istana Kehakiman.
Katanya, sebagai pelapis barisan pemimpin, tanggungjawab untuk menegakkan keadilan sistem perundangan sewajarnya diteruskan.
“Pemuda BN ingin menjemput dan berharap Adam Adli dapat hadir bersama kami untuk menuntut keadilan dalam sistem perundangan negara.
“Sebagai barisan pemimpin pelapis, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan keadilan sistem perundangan negara dan menghentikan amalan dendam politik.
“Ia bukan sahaja merugikan rakyat tetapi juga membazir sumber negara serta mencemarkan kemuliaan institusi kehakiman di negara kita,” katanya. – UTUSAN