ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengingatkan semua pihak terutamanya pemain industri pelancongan supaya berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan penting agar tidak menjejaskan promosi Tahun Melawat Kedah 2025 (TMK2025).
Justeru Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Datuk Mohd. Salleh Saidin menyifatkan tindakan pembatalan kenaikan tambang feri oleh Langkawi Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. sebagai langkah tepat menjelang TMK2025.
Menurutnya, langkah tidak meneruskan tambang baharu itu membuktikan komitmen pengusaha feri dalam membantu kerajaan negeri mempromosi dan merancakkan sektor pelancongan di negeri Jelapang Padi ini terutamanya Pulau Langkawi.
“Saya hubungi sendiri pihak feri selepas pengumuman tambang baharu dibuat, saya sampaikan pandangan kerajaan negeri dalam perkara itu dan berharap pihak industri bersama-sama kita untuk menjayakan TMK2025.
“Kalau naik harga tiket sudah tentu akan beri kesan kepada kempen TMK2025 dan atas sebab itu saya mohon mereka pertimbang keputusan sebelum ini dan batalkan kenaikan harga itu dan saya yakin mereka juga sama-sama hendak bantu bangunkan sektor pelancongan di Kedah.
“Alhamdulillah pihak konsortium feri memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga tiket pada tahun hadapan sekiranya bantuan melibatkan subsidi diesel terus diberikan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya selepas Program Sumbangan Mangsa Banjir DUN Kubang Rotan di sini, hari ini.
Mohd. Salleh turut memaklumkan, Ferry Line turut sedia menambah bilangan perjalanan feri-feri bersaiz kecil sebaik isu membabitkan alur pelayaran khususnya di Terminal Feri Kuala Kedah selesai sekitar Februari tahun depan.
“Konsortium itu juga akan menambah kekerapan perjalanan feri ketika penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2025 yang dijadual pada Mei tahun hadapan termasuk perjalanan pada waktu malam,” katanya.
Sebelum itu, Ferry Line mengumumkan kenaikan kadar tambang feri Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah antara RM3 hingga RM10.50 sehala mengikut kategori penumpang dan laluan perjalanan, bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberi amaran untuk membatalkan pemberian subsidi diesel terhadap pengusaha feri jika meneruskan kenaikan harga tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik.
Rentetan itu Ferry Line membatalkan kenaikan kadar tambang feri yang sepatutnya dikuatkuasakan 1 Januari depan susulan nasihat Kementerian Pengangkutan (MOT).-UTUSAN