SEREMBAN: Penyelarasan gaji dan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini dilakukan selepas mengambil kira tempoh 10 tahun tidak dilakukan semakan semula.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menjelaskan, langkah untuk menyemak semula itu turut mengambil kira pertimbangan bahawa gaji yang diterima ADUN di negeri ini merupakan terendah berbanding diterima ADUN di negeri lain.
“ADUN ini tiada kenaikan tahunan, itulah gaji mereka selama 10 tahun, di Negeri Sembilan ini ia yang merupakan kedua terendah berbanding negeri lain.
“Selepas 10 tahun tiada kenaikan bilakah lagi mahu dinaikkan? jadi saya lihat inilah waktu yang sesuai untuk disemak semula. Alhamdulillah, Belanjawan 2024 kita ada lebihan, tahun depan juga merupakan belanjawan berimbang yang peruntukannya kita tambah sebanyak RM70 juta berbanding belanjawan tahun ini, rizab kerajaan negeri juga baik.
“Negeri lain juga naik, yang kita naikkan ini pun tidak lebih dari negeri-negeri lain, kita selaraskan ini juga akan melibatkan pesara yang menerima (pencen) jumlah yang kecil,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan pihak pembangkang yang mencadangkan supaya kerajaan negeri menangguh dan mengkaji semula kenaikan gaji ADUN di negeri ini Ketika rakyat masih berdepan kos sara hidup yang tinggi.
Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Yang Ke-15 baru-baru ini telah meluluskan Rang Undang-Undang untuk meminda Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1980 bagi menyelaraskan semula gaji sedia ada.
Ia bertujuan bagi menjalankan semakan dan kajian berkenaan gaji dan elaun Yang Dipertua DUN, anggota pentadbiran dan ADUN bagi menyelaraskan semula gaji sedia ada memandangkan kedudukan gaji tersebut tersenarai sebagai gaji terendah berbanding dengan gaji Yang Berhormat di negeri lain.
Pelarasan itu juga selaras dengan pengumuman oleh Perdana Menteri untuk melaksanakan kenaikan gaji bagi penjawat awam melalui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Kita juga berbincang dengan pembangkang, ada pertemuan, yang mohon bukan tetapi kerana ada caadangan dan bukan ketika ini sahaja ada cadangan, sejak dari dahulu lagi, kita pertimbang dan sudah 10 tahun jadi layak (diselaraskan semula),” katanya. – UTUSAN