KUALA LUMPUR: Projek ‘This is Johan: A BikinSampaiJadi Story’ yang dihasilkan oleh penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow berjaya merangkul dua Anugerah Emas di acara tahunan Anugerah Kancil 2024 yang berlangsung pada 22 November lalu.
Joe yang merupakan pemenang bagi kategori Filem Fiksyen dan Bukan Fiksyen (5 minit ke atas) serta Pempengaruh dan Kolaborasi menyifatkan pengiktirafan tersebut mempunyai nilai sentimental tersendiri berbanding pencapaiannya sebelum ini.
“Saya amat berbangga dan gembira untuk keseluruhan pasukan di atas anugerah ini. Terima kasih tak terhingga buat Barney (pengarah dokumentari) kerana mempercayai visi yang kami
perjuangkan.
“Sebagai alumni graduan dalam bidang pengiklanan semasa di kolej dulu, Anugerah Kancil semestinya sasaran teratas buat semua pengamal industri pengiklanan di Malaysia.
“Trofi ini akan saya letakkan di sebelah trofi MTV EMA dan anugerah lain yang pernah saya peroleh dalam bidang muzik sebelum ini,” kata dalam satu kenyataan media.
Pencapaian itu secara tidak langsung membanggakan Universal Music Malaysia (UMM) kerana penyanyi lagu Apa Khabar itu merupakan Pengarah Urusan Def Jam SEA, label Hip-Hop berpengaruh Asia Tenggara di bawah syarikat rakaman tersebut.
Kata Pengarah Urusan UMM, Kim Lim, Joe merupakan contoh tepat sebagai selebriti sejati yang memiliki keistimewaan luar biasa kerana berjaya memberi impak positif terhadap generasi yang berbeza.
Selain bijak menarik perhatian pendengar, Joe juga disifatkan sebagai pelopor industri yang kekal relevan dalam kalangan generasi muda.
“Menerusi projek ini, beliau berkongsi kisah peribadi, buah fikiran, dan pengalamannya yang membuka ruang untuk Gen Z dapat menyelami lagi dirinya. Keaslian sebeginilah mereka cari kerana lebih dekat dalam hati.
“UMM percaya bekerja bersama rakan jenama seperti Hotlink yang berkongsi nilai serupa dengan kami mampu gandakan lagi keterbabitan dan berkongsi minat menyatupadukan Gen Z. Kami mahu buka jalan buat mereka ikut serta jadi sebahagian daripada projek besar di masa depan,” katanya.
Untuk makluman, ‘This is Johan: A BikinSampaiJadi Story’ adalah projek di bawah jenama telekomunikasi terkemuka, Hotlink sempena misi menjadi Jaguh 5G Termantap Untuk Muzik.
Menerusi projek tersebut, Hotlink bertekad mengangkat muzik sebagai bidang yang sangat dekat di hati Gen Z selain mahu mengukuhkan ikatan di kalangan generasi tersebut di masa akan datang.
Lebih nenarik lagi, projek tersebut juga merupakan dokumentari pertama dalam industri Hip-Hop tanah air yang menceritakan perjalanan Joe dalam karier muzik.
Dokumentari yang memuatkan temubual selama 400 jam bersama rakan muzik, keluarga dan penyanyi rap itu turut merungkai pelbagai sisi jatuh bangunnya dalam menaikkan namanya dalam persada seni.
Dokumentari ini dihasilkan dengan kerjasama Mojo Films, Maxis, Universal Music Malaysia dan Publicis Groupe Malaysia, dan telah ditayangkan di platform Viu Malaysia.
Anugerah Kancil dianjurkan Pertubuhan Akreditasi Ejen Pengiklanan Malaysia (4As) dan sebanyak 234 anugerah untuk 10 kategori disampaikan pada tahun ini.-UTUSAN