ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri sekali lagi memohon kerajaan Persekutuan mempertimbangkan permohonan mengembalikan 20 peratus cukai yang dikutip dari negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, permohonan itu selari dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sebelum ini.
Katanya, ia amat penting bagi memastikan rakyat Johor mendapat limpahan manfaat hasil negeri dan untuk memastikan pembangunan negeri dilaksanakan dengan lebih komprehensif, demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.
“Sebagai contoh, setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) memohon RM10 juta, di Johor ada 56 DUN jadi jumlahnya sudah setengah bilion. Banyak perkara yang mahu kita lakukan di Johor melibatkan kesemua 56 DUN,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan Johor 2025 pada sidang DUN Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Onn Hafiz turut memberitahu, kerajaan negeri bersetuju menambah RM26 juta dalam Belanjawan Johor 2025 bagi menambah baik pelaksanaan program-program yang dirancang.
“Beberapa inisiatif tambahan telah dirancang termasuk peruntukan RM300,000 kepada Dewan Muda Johor, RM200,000 masing-masing kepada persatuan pesara polis dan tentera;, RM750,000 kepada Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor; RM150,000 kepada Kelab Media Johor dan RM1 juta bagi pembinaan Invest Malaysia Facilitation Centre-Johor (IMFC-J) di Forest City.
“Selain itu, peruntukan tambahan turut diberi kepada Mesyuarat Tindakan DUN (MTD) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif bertujuan meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat setempat,” jelasnya.
Pada 21 November lalu, Onn Hafiz membentangkan Belanjawan Johor 2025 dengan unjuran perbelanjaan hampir RM2 bilion. – UTUSAN