KAJANG: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menghulurkan bantuan dari segi pendidikan dan pembiayaan sara hidup kepada dua anak Allahyarham Khairul Ikhwan Marzupi yang kini parah akibat kemalangan yang mengorbankan lima sekeluarga termasuk Penolong Jurutera Fakulti Pergigian UKM itu.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, waris akan menerima sumbangan daripada khairat kematian selain sumbangan peribadi yang bakal disumbang oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zamby Abdul Kadir, Jumaat ini.
“Berkaitan dengan warisnya, kita sedang memikirkan apa kaedah untuk membantu kedua-dua anak yang ditinggalkan Allahyarham.
“Ini kerana pernah berlaku ada kakitangan kita (UKM) meninggal dunia dan ditanggung sejak dia kecil sehingga sudah bekerja, jadi kita sedang fikirkan sama ada kaedah itu atau lain.
“Bagaimanapun daripada segi kebajikan kita ada berikan sumbangan-sumbangan khusus,” katanya ketika ditemui di Surau Al-Ikhlas, Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Ekhwan berkata, pemergian Khairul Izwan merupakan satu kehilangan buat Fakulti Pergigian kerana Allahyarham disifatkan sebagai kakitangan berdedikasi.
“Malah, saya baru bermesyuarat dengan Allahyarham pada bulan lalu bagi membincangkan berkaitan projek pemindahan Fakulti Pergigian.
“Allahyarham banyak membantu dari segi penambahbaikan reka bentuk dan ruang fakulti,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 400 ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat menghadiri solat jenazah Allahyarham Khairul Marzupi, 32, isteri, Fadzlenna Ramli, 32, dan anak, Muhammad Umar, 2, serta mentua Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69 tahun.
Jenazah lima sekeluarga itu tiba dari Hospital Melaka pada 5.45 petang sebelum disolatkan pada 6 petang.
Dalam kejadian 8.40 malam tadi, tujuh orang dilaporkan maut membabitkan lima individu menaiki Toyota Estima serta pemandu dan penumpang bas dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, Ayer Keroh, Melaka.
Dua lagi penumpang Estima, iaitu Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan dan adiknya, Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan berusia tujuh dan empat tahun cedera dan masing-masing dirawat di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Melaka.- UTUSAN