KAJANG: Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara selamat tiba di Surau Al-Ikhlas, Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi di sini kira-kira pukul 5.45 petang tadi.
Lima van jenazah membawa Allahyarham Khairul Ikhwan Marzupi, 32, isteri, Fadzlenna Ramli, 32, dan anak, Muhammad Umar, 2 serta mentua Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69 disambut pilu oleh ahli keluarga dan rakan terdekat.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kira-kira 400 ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat mula berkumpul di surau berkenaan sejak pukul 1 petang tadi.
Turut kelihatan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed
Kelima-lima jenazah itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Kajang dekat sini petang ini.
Dalam kejadian malam, tujuh orang dilaporkan maut membabitkan lima individu menaiki Toyota Estima serta pemandu dan penumpang bas dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 204, Lebuh Raya PLUS menghala arah utara di Alor Gajah, Melaka.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, kemalangan 8.40 malam itu membabitkan sebuah bas ekspres, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.
Kemalangan berlaku apabila bas yang tiba di tempat kejadian terlanggar tayar itu dan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Semasa terbabas ke lorong bertentangan, bas berlanggar dengan Perodua Bezza hingga kereta itu terbabas ke lorong kiri jalan dan melanggar penghadang jalan.
“Bas itu kemudian bertembung pula dengan sebuah treler dan Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga,” katanya.
Selain tujuh yang dilaporkan maut, dua lagi penumpang Estima, iaitu Muhammad Uwais Al-Qarni dan adiknya, Nur Sofea Humairaberusia tujuh dan empat tahun cedera dan masing-masing dirawat di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Melaka.