KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa digesa menubuhkan segera pasukan khas bagi menyiasat kemalangan maut membabitkan sebuah kereta, lori dan bas di Kilometer 203.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Alor Gajah, Melaka.
Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pasukan khas itu diperlukan bagi menyiasat tersebut secara lebih terperinci dan memastikan kejadian sama tidak berulang lagi.
“Memetik laporan media, siasatan awal mendapati ia berpunca daripada tayar hadapan sebelah kanan lori yang terlibat dalam kejadian tersebut tercabut dan berada di tengah lebuh raya.
“Justeru, saya berharap pihak yang berkenaan segera tubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kejadian ini secara lebih terperinci dan penting untuk memastikan kejadian sama tidak berulang lagi,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, tujuh orang termasuk kanak-kanak berusia dua tahun terlibat dalam kemalangan maut itu dan setakat ini, seramai 33 mangsa turut dilaporkan cedera.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata, nahas kira-kira jam 8.40 malam itu membabitkan sebuah bas ekspres, lori, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.
Katanya, siasatan awal mendapati sebuah lori dan bas masing-masing dipandu lelaki berusia 31 dan 56 tahun dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan.
Kini, mayat semua mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, kenderaan yang terbabit ditahan untuk dibawa ke PUSPAKOM Sdn. Bhd. (PUSPAKOM) bagi pemeriksaan kenderaan.
Dalam pada itu, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, laporan khas yang disiarkan oleh sebuah akhbar tempatan hari ini berkenaan kemalangan maut membabitkan kenderaan berat wajar dipandang serius.
“Sebanyak 825 kemalangan maut melibatkan lori direkodkan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini dengan purata nahas tiga lori dalam sehari.
“Ini seperti yang didedahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam laporan ini sangat membimbangkan,” katanya.