PUTRAJAYA: Kementerian Luar mengesahkan seramai empat rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam insiden bas yang berlaku dekat Tasik Pasresvatnet, Norway Khamis lalu.
Wisma Putra berkata, mereka yang cedera itu hanya mengalami kecederaan ringan dan kini berada di Hotel Thon di Lofoten.
“Empat warga Malaysia kini ditempatkan di Thon Hotel di mana turut disediakan dengan penginapan.
“Bagaimanapun, susulan siasatan yang sedang dijalankan, kesemua mereka tidak dibenarkan menggunakan telefon atau membuat komunikasi langsung dengan dunia luar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, Wisma Putra berkata, kakitangan hotel juga dilarang untuk berkomunikasi dengan penumpang terjejas sepanjang siasatan dijalankan.
“Pasukan konsular kedutaan sedang giat bekerjasama dengan pihak berkuasa Norway untuk menentukan jumlah rakyat Malaysia terlibat selain memberikan bantuan diperlukan.
“Siasatan dalam keadaan salji lebat, angin kencang dan jarak kira-kira 1,500 kilometer (KM) dari Oslo turut menimbulkan cabaran logistik yang signifikan bagi mengakses serta menyokong individu terjejas,” katanya.
Katanya, Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia tetap teguh dengan komitmen untuk membantu warga Malaysia yang terlibat selain terus memantau keadaan dengan teliti dan memberikan maklumat terkini.
Terdahulu, insiden itu berlaku dalam keadaan cuaca buruk termasuk salji tebal dan angin kencang, seterusnya menyebabkan bas hilang kawalan lalu terbabas.
Daripada 58 penumpang, tiga kematian dilaporkan, manakala empat lagi cedera parah dan kini dirawat di Hospital Stokmarknes.
Pihak berkuasa Norway berjaya memindahkan semua penumpang yang terselamat, meskipun usaha menyelamat pada peringkat awal menghadapi cabaran akibat cuaca buruk. – UTUSAN