TUMPAT: Kelantan dianggarkan mengalami kerugian lebih RM30 juta akibat banjir gelombang pertama yang melanda negeri ini bermula penghujung November lalu melibatkan kerosakan infrastruktur termasuk jalan dan sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat bagaimanapun berkata, anggaran jumlah itu masih di peringkat awal.
“Ketika ini kerajaan negeri masih mendapatkan perincian data sebenar berkaitan kerugian akibat banjir,” katanya selepas Majlis Penerimaan dan Pengagihan Bantuan Banjir Daripada FGV Berhad di Dewan Bunga Raya Pantai Sri Tujuh, di sini hari ini.
Wan Roslan memberitahu, setakat beliau dimaklumkan, terdapat lima hingga enam sekolah milik Yayasan Islam Kelantan (YIK) ditenggelami banjir gelombang pertama. – UTUSAN