UJIAN Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) 2024 mencatatkan peratusan yang tinggi untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 99.46 peratus berbanding 90.51 peratus pada tahun 2023.
Peratusan yang meningkat sebanyak 4.15 peratus itu menunjukkan kualiti calon-calon yang semakin mahir dengan ilmu agama dari segi akademik, amali dan rohani.
Kualiti 8,555 calon ini semakin terbukti apabila sejumlah 911 pelajar mendapat sembilan mumtaz (cemerlang), 527 pelajar memperoleh lapan mumtaz dan 426 pelajar memperoleh tujuh mumtaz.
Sejumlah 200 buah institusi yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) tetapi Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi (SIRAJ) Abdullah Ibnu Abbas dan SIRAJ Saidina Uthman Bin Affan telah melahirkan pelajar lelaki dan perempuan terbaik keseluruhan.
Pelajar terbaik lelaki, Wan Ahmad Umair Wan Saifulhasan dari SIRAJ Abdullah Ibnu Abbas, melahirkan rasa syukur atas kejayaannya.
“Saya berasa amat teruja bila mendapat tahu yang saya terpilih pada hari ini.
“Antara cara saya belajar adalah dengan menggunakan buku aktiviti dan membaca nota ringkas untuk mudah faham,” katanya ketika ditemui di Majlis Pengumuman UPSRA 2024 di Cheras.
Anak sulung daripada empat adik beradik itu juga sudah mula merancang masa depan untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh Agama untuk menelaah ilmu agama dengan lebih mendalam.
“Saya ingin mendalami ilmu agama sekaligus menerokai bidang-bidang berkaitan. Saya juga bercita-cita ingin menjadi seorang doktor,” katanya.
Sementara itu, pelajar terbaik perempuan, Zahra Humaira Mohd. Zailani dari SIRAJ Saidina Uthman Bin Affan pula berkata, dia terkejut dengan kejayaan tersebut.
“Saya juga menyasarkan Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMAIWP) untuk menyambung pelajaran saya dalam bidang agama,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi), Rashinah Abdul Hamid berkata, UPSRA dilaksanakan bertujuan untuk memastikan tahap pembelajaran murid
berdasarkan Kurikulum Sekolah Rendah Agama (KSRA) dapat dicapai.
Katanya, UPSRA meliputi penilaian bertulis, penilaian amali, penilaian lisan atau syafawi dan penilaian berasaskan projek.
“UPSRA membantu memastikan murid bersedia dengan ilmu agama yang kukuh sebagai asas ke arah pendidikan yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN