Kejadian perlanggaran Muhammad Zaharif luar biasa - saksi - Utusan Malaysia

Kejadian perlanggaran Muhammad Zaharif luar biasa – saksi

MOHD. Nazri Abdul Razak di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini bagi perbicaraan menyebabkan kematian seorang pelajar 17 tahun dalam kejadian Disember tahun lalu. - FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pegawai polis menyifatkan kejadian perlanggaran membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Ativa dengan motosikal ditunggang Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie, 17, sebagai luar biasa.

Ini kerana, jelas Inspektor Jong Pit Chao, 37, terdapat elemen pengejaran antara kereta tersebut dengan motosikal mangsa sebelum perlanggaran berlaku.

Malah saksi pendakwaan ke-29 itu memberitahu, kedua-dua kenderaan juga tiada di lokasi perlanggaran ketika dia tiba di tempat kejadian.

“Dari mula saya terima maklumat mengatakan berlaku perlanggaran berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati melibatkan kereta dan motosikal.

“Menurut saksi awam, motosikal itu telah memperlahankan kelajuan dan kereta Perodua Ativa yang mengekori dari belakang telah langgar motosikal tersebut.

“Maksudnya, ini merupakan satu kejadian luar biasa di mana wujudnya kejadian mengejar antara kereta Ativa dan motosikal yang ditunggang mangsa,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Terdahulu, Pit Chao berkata, berdasarkan keterangan secara lisan oleh saksi awam, kejadian bermula dengan mangsa yang menunggang motosikal telah membuat bunyi bising ekzos.

Ujarnya, saksi awam memaklumkan kepadanya sebuah kereta Perodua Ativa telah datang dari arah SMK Jati dan mengejar mangsa sebelum kedua-dua kenderaan itu berpatah balik ke lokasi kejadian.

Pit Chao merupakan pegawai penyiasat trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang bertugas pada hari kejadian insiden pelanggaran itu berlaku.

Sementara itu, menjawab soalan peguam bela, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengenai skop siasatan yang mengambil kira kemungkinan wujud elemen di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sedangkan siasatan masih di peringkat awal, Pit Chao memberitahu bahawa siasatan perlu dilakukan secara menyeluruh dan tidak semestinya menjurus mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Apabila satu kertas siasatan dibuka, perlu ada satu klasifikasi kes untuk memulakan siasatan. Bagi kes ini, berdasarkan laporan maklumat awal adalah buka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

“Tapi siasatan perlu menyeluruh, tidak semestinya menjurus kepada Seksyen 41(1) APJ 1987. Pihak polis perlu menjalankan siasatan daripada pelbagai aspek,” katanya.

Selain itu, saksi berkenaan mengakui telah memadamkan dua rakaman kejadian itu yang diperolehi daripada seorang pemandu wanita kenderaan Mitsubishi Triton yang meletakkan kenderaan di lokasi kejadian ketika perlanggaran berlaku.

Jelasnya, beliau bertindak sedemikian kerana bukan lagi pegawai penyiasat kes tersebut setelah kertas siasatan diserahkan kepada Asisten Superintenden (ASP), Chua Sze Chuan.

Mior: Boleh puan kongsi rakaman yang diterima daripada perempuan Melayu itu kepada mahkamah?
Pit Chao: Semasa saya menerima panggilan daripada perempuan tersebut, saya telah terima arahan kes ini diserahkan kepada ASP Chua, jadi saya terus maklum kepada perempuan itu yang saya tidak lagi bertugas sebagai pegawai penyiasat kes ini, sila hubungi ASP Chua.

Mior: Perempuan itu serahkan melalui aplikasi whatsapp, soalan saya ada tak dalam simpanan puan lagi?
Pit Chao: Tidak ada.

Mior: Jadi saya katakan kepada puan, sebenarnya puan tidak terima pun daripada perempuan itu (rakaman video), jika tidak puan tidak akan padam.
Pit Chao: Saya terima.

Mior: Kenapa puan tidak simpan video?
Pit Chao: Sebab saya bukan (lagi) pegawai penyiasat.

Mior: Puan tahu ini bukti di mahkamah?
Pit Chao: Tahu. Saya bukan pegawai penyiasat dan saya majukan kepada ASP Chua yang kendalikan siasatan ketika itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet memasuki hari ke-16, hari ini.

Mengikut pertuduhan, Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak, 45, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi, 17.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya