JOHOR BAHRU: Kegiatan sindiket meminta derma meraih simpati orang awam kononnya memohon derma bagi pembinaan sekolah tahfiz anak-anak yatim di Songkla, Thailand akhirnya tumpas.
Sindiket didalangi dua beradik warganegara asing itu menggunakan khidmat pengutip derma yang berpakaian jubah dan kopiah yang terdiri daripada golongan muda serta warga emas bagi memperdaya khalayak umum.
Dua dalang sindiket yang berusia 47 dan 54 tahun itu ditahan dalam serbuan di premis kediaman sekitar Taman Tiram Baru, Ulu Tiram di sini pada pukul 11 pagi, Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, hasil risikan yang dijalankan mendapati premis berkenaan dijadikan tempat tinggal pengutip derma warga asing itu.
“Menerusi serbuan ini juga pihak polis menyelamatkan seorang lelaki tempatan dan lima lelaki warga asing berumur dalam lingkungan 21 hingga 70 tahun.
“Mereka ini dipercayai dijadikan sebagai pengutip derma oleh sindiket ini di beberapa lokasi di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut dirampas dua kenderaan serta enam tabung tertera tulisan sumbangan Ikhlas untuk pembinaan sekolah tahfiz anak-anak yatim.
Turut dirampas fail mengandungi salinan surat pelantikan wakil memohon sumbangan Ikhlas menggunakan kepala surat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Menurut Kumar, polis turut merampas empat keping gambar pembinaan sebuah madrasah, sembilan buah telefon bimbit pelbagai jenama, 10 keping resit penghantaran wang, cap atas nama madrasah dan wang tunai bercampur-campur berjumlah RM9,158.
Tambahnya, siasatan awal polis mendapati sindiket itu bergiat aktif sejak pertengahan 2019 dengan menjadikan kawasan sekitar Johor Bahru, Seri Alam, Kulai, Ayer Hitam dan Simpang Renggam sebagai lokasi sasaran.
“Kedua-dua dalam utama tersebut berperanan sebagai pemandu dan perancang kegiatan mengutip derma.
“Hasil ujian air kencing yang dilakukan terhadap kedua-dua suspek mendapati positif dadah jenis ketamin,” katanya.
Kes disiasat bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 3(2) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan Jalanan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sebarang maklumat aktiviti jenayah katanya, boleh disalurkan menerusi talian hotline polis Johor 019-2792095 atau bilik gerakan 07-221299. – UTUSAN