Kecederaan pemain utama jejas prestasi Perak FC - Utusan Malaysia

Kecederaan pemain utama jejas prestasi Perak FC

PEMAIN Perak FC, Luka Milunovic cuba melepasi halangan pemain Selangor FC, Nooa Hamzah Laine dalam perlawanan Liga Super di Stadium MP Manjung semalam. - UTUSAN/GAMBAR PERAK FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kegagalan mencatat kemenangan dalam enam perlawanan terakhir Liga Super dan satu perlawanan Piala Malaysia, tidak mencerminkan prestasi sebenar pasukan Perak FC.

Ia kerana pasukan Bos Gaurus itu ketika ini bergelut dengan masalah kekurangan pemain termasuk kecederaan beberapa pemain utamanya yang merencatkan persembahan permainan termasuk kalah 1-2 kepada Selangor dalam perlawanan Liga Super di sini semalam.

Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah, memberitahu pasukan itu sekarang memiliki sumber pemain yang semakin terhad sehingga terpaksa melakukan penggiliran pemain.

“Kemungkinan besar selepas perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Pahang pada 22 Disember ini, bilangan pemain terus berkurangan kerana ada yang akan tamat kontrak pada akhir tahun ini, dan mungkin membawa haluan baharu kepada pemain-pemain tertentu.

“Jadi, kemungkinan selepas perlawanan dengan Pahang itu, kami ada masa dalam tiga minggu untuk memperbaiki kelemahan kerana ini sahaja pemain yang kita ada,” ujarnya pada sidang akhbar selepas perlawanan Perak FC menentang Selangor di Stadium Manjung, semalam.

Beliau menjelaskan,  pemain juga masih lagi melakukan kesilapan yang sama terutama di kalangan pemain muda yang belum berpengalaman dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Begitupun, Yusri memuji semangat dan komitmen ditunjukkan pemain terutama dalam dua perlawanan terakhir menentang dua pasukan ‘top ranking’ dalam Liga Malaysia iaitu Selangor dan Pahang.

“Kami perlu bangkit semula, tetapi jika melihat senarai pemain-pemain kita yang ada hari ini dengan pasukan lain dalam Liga Malaysia, kita perlu ‘ukur baju di badan sendiri’.

“Mungkin ada pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan tersebut, tetapi ia adalah hakikat yang perlu diterima oleh semua,” katanya.

Dalam perlawanan semalam, Perak tewas 1-2 kepada Selangor, yang menyaksikan Perak kemarau kemenangan untuk enam perlawanan berturut-turut dalam saingan liga.

Dua jaringan Alvin Fortes masing-masing pada babak pertama dan kedua perlawanan membolehkan Selangor mengumpul 35 mata daripada 16 perlawanan setakat ini.

Gol Perak dijaringkan Wan Zack Haikal pada minit ke-89. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya