Kecam sambutan Krismas di pejabat KPKT: Kor Ming tuduh Pas parti hipokrit

Kecam sambutan Krismas di pejabat KPKT: Kor Ming tuduh Pas parti hipokrit

NGA Kor Ming melawat gerai jualan MyKiosk Meru Raya pada Program Sentuhan Kejayaan KPKT 2024 di Meru Raya, Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menempelak Pas atas sikap hipokrit parti itu berhubung sambutan Hari Krismas yang diadakan di pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri KPKT secara sinis berkata, parti itu dilihat tidak konsisten dalam pendiriannya apabila memberi kenyataan bercanggah berkaitan perayaan berkenaan.

“Saya mengikuti kenyataan parti Pas yang mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian. Ini sebenarnya menunjukkan tahap hipokrasi mereka yang paling tinggi.

“Pada satu masa, mereka mengucapkan selamat menyambut Hari Krismas dan pada masa sama, mereka cuba pula menghentikan penganut agama itu untuk meraikan perayaan tersebut. Apa ini, saya tidak faham,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Sentuhan Kejayaan KPKT 2024 di Meru Raya di sini hari ini.

Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, sebagai negara yang mempunyai kepelbagaian kaum dan budaya, kerajaan Madani meraikan semua perayaan bagi memupuk keharmonian dan semangat muhibah dalam kalangan rakyat.

Malah katanya, sejak beliau menggalas tugas sebagai Menteri KPKT, kementeriannya meraikan setiap perayaan bermula sambutan Tahun Baharu Cina diikuti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas.

“Kita meraikan semua perayaan dan tidak tunduk kepada ketaksuban dan ekstremis. Kita menghormati umat Islam untuk merayakan Aidilfitri dan pada masa yang sama, kita juga hormat penganut Kristian untuk menyambut Krismas.

“Dalam video yang tular itu pun menunjukkan betapa muhibah dan harmoninya kakitangan KPKT menyanyikan lagu Krismas di mana mereka ini terdiri daripada pegawai berketurunan Kadazan dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Kor Ming menasihatkan pemimpin Pas supaya bertaubat dan tidak terus merosakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini selain mengambil iktibar daripada kes melibatkan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang terpaksa memohon maaf berkaitan isu fitnah kibaran bendera China di Menara Condong, Teluk Intan Oktober lalu.

“Saya nasihatkan Pas untuk bertaubat dan kembali ke pangkuan jalan. Jangan sesat seribu sesat. Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar jelas menyatakan kepelbagaian budaya adalah keistimewaan tanah air kita yang tercinta.

“Saya akan jemput pemimpin Pas datang bila saya buat sambutan Hari Raya Aidilfitri. Saya harap pemimpin Pas datang bawa kompang untuk bersama-sama menyanyikan lagu nasyid untuk kita raikan Aidilfitri nanti,” katanya.

Pada Selasa lalu, Kor Ming memuat naik video berdurasi satu minit 48 saat di aplikasi X yang memaparkan nyanyian dan sambutan perayaan Krismas di pejabat kementeriannya.

Susulan itu, beberapa pemimpin Pas termasuk Naib Ketua Pemuda Pas, Muhammad Hanif Jamaluddin mengecam sambutan tersebut dan mendakwa ia turut melibatkan kakitangan beragama Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya